SI PELUKIS WARKAH BERMADAH

Cantik tak semestinya Sempurna,
Hodoh tak Semestinya cacat,
yang baik DiSangka Durjana ,
Yang Jahat diikuti cepat.

jikalau mendung,belum tentu turunya hujan.
Jikalau hujan,belum tentu datangnya petir.
jikalau petir,belum tentu bersaingkan taufan,
jikalau diberi hidayah,sudah tentu Allah terlalu hampir.
selamat datang ke Blog Saya ini ok.. Chil~ =D

Sunday 16 October 2011

[Asignment] Ajaran Sesat Di Malaysia





AJARAN SESAT DI MALAYSIA

AJARAN SESAT DI MALAYSIA : KESAN SOSIALISASI TERHADAP MASYARAKAT DAN NEGARA

1. PENDAHULUAN
Timbulnya ajaran-ajaran sesat dan amalan-amalan sesat di dalam masyarakat Islam di Malaysia bukanlah satu perkara baru dan tidak disedari tetapi kadang-kadang ajaran sesat itu tidak dapat dikatakan sesat keseluruhannya kerana ada bercampur aduk diantara benar dan yang salah. Yang paling rumit dan kritikal sekali ialah didalam ajaran-ajaran berkenaan dikatakan betul oleh satu golongan dan dikatakan salah oleh golongan yang lain. Namun begitu masalah perselisihan pendapat ini adalah disebabkan oleh beberapa faktor seperti mereka yang memperkatakan tentang ajaran itu mempunyai sikap dan niat tertentu, mereka yang cuba menilai ajaran tidak mengetahui betul-betul ajaran berkenaan dan aliran atau ajaran dari kumpulan berkenaan mempunyai cara-cara pengajarannya mengikut peringkat-peringkat tertentu seperti pada peringkat awal menonjolkan kebenaran tetapi akhirnya mengandungi ajaran dan kepercayaan yang mengelirukan bahkan mempunyaim unsur yang bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah serta ajaran-ajaran berkenaan kebanyakannya tidak di sebarkan secara terbuka. Oleh itu tidak dapat dibincang dan dinilai oleh umum secara terus atau terperinci.
Akidah Islam adalah berpusat kepada kepercayaan kepada Allah, Malaikat, Rasul- rasul, Kitab, Qada’ dan Qadar, dan percaya kepada hari akhirat. Sehingga kini hampir setiap buah negeri di Malaysia terdapat ajaran-ajaran yang disebarkan secara senyap-senyap dan adakalanya mendapat sokongan daripada tokoh-tokoh agama tempatan. Ajaran sesat bukanlah suatu perkara baru bagi kita, malah kemunculannya dinegara ini adalah merupakan adunan dari pengaruh sebelum Islam dan kepercayaan animisma serta daya rekacipta kuno yang tidak berlandaskan Syariat Islam.
Ajaran sesat juga merupakan suatu ancaman besar kepada agama dan umat Islam di Malaysia masa kini kerana penyebaran ajaran-ajaran sesat dikalangan umat Islam yang terus berjalan dari masa ke semasa. Ajaran-ajaran ini dapat bertapak apabila saja ianya diperkenalkan. Sehingga kini hampir seluruh pelusuk rantau negara ini diresapi oleh berbagai-bagai bentuk ajaran sesat, yang datang dari berbagai-bagai tempat. Sebilangan daripada ajaran-ajaran tersebut terang-terang boleh mengheret pengikutnya keluar dari akidah dan syariah agama Islam tetapi tidak disedari oleh pengikutnya putus hubungan dengan saudara-saudara Islamnya yang lain di dalam masyarakat. Ada pula ajaran-ajaran di mana pengikutnya sanggup keluar dari agama Islam kerana mempercayai bahawa ajaran itu betul, dan ada pula yang sanggup menceraikan isteri, meninggalkan rumahtangga dan seterusnya melakukan kekejaman ke atas orang lain dan kadang-kadang melakukan pembunuhan.
Keadaan-keadaan beginilah yang benar-benar mengancam agama dan keselamatan umat Islam di negara ini dan amat sukar diatasi sekiranya tindakan yang betul-betul berkesan tidak diambil dengan segera. Walaubagaimanapun kemunculan ajaran sesat ini diambil perhatian berat setelah berlaku peristiwa yang menumpahkan darah iaitu penyerangan kumpulan ajaran sesat yang bertopengkan “Tarikat Nurul Zaman” keatas balai polis Batu Pahat Johor pada hari Khamis 16hb Oktober, 1980 yang telah meragut 6 orang dari kumpulan penyerang dan mencederakan 23 orang awam

2. DEFINISI
Ajaran sesat ialah sebarang ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang-orang Islam atau orang-orang bukan Islam yang mendakwa bahawa ajaran dan amalan tersebut adalah ajaran Islam atau berdasarkan kepada ajaran Islam sedangkan hakikatnya ajaran dan amalan yang dibawa itu bertentangan dengan Islam yang berdasarkan al-Quran dan Sunnah serta bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah. Menurut Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, orang-orang yang sesat ialah orang-orang yang tidak berpengetahuan agama kerana tidak berusaha mempelajarinya atau orang yang berpengalaman agama yang tidak betul kerana dipelajari dengan tidak menurut peraturan dan jalan sebenarnya.
Menurut Oxford English Dictionary, ajaran sesat adalah “ pandangan atau doktrin teologi atau keagamaan yang dianggap berlawanan atau bertentangan dengan doktrin Gereja Katholik atau ortodoks, atau dalam pengertian yang lebih luas, dengan doktrin gereja, keyakinan , atau sistem keagamaan manapun yang dianggap ortodoks atau ajaran benar. Dalam pandangan Islam ajaran sesat ini adalah ajaran yang berbeza dengan apa yang umumnya diakui telah dibawa oleh nabi S.A.W dan berdasarkan Al-Quran, sunnah dengan mengikut ahli sunnah waljamaah.

3. PERMASALAHAN KAJIAN
Ajaran sesat yang diamalkan di Malaysia memberi kesan sosialisasi kepada masyarakat dan negara serta menggugat perpaduan ummah . Kegagalan dalam membendung permasalahan ini akan menyebabkan negara menjadi kucar kacir dan tidak selamat. Suasana sosio budaya, ekonomi dan politik akan tidak tenteram dan seterusnya negara tidak akan menjadi maju dan berjaya.

4. PERKEMBANGAN SOSIALISASI AJARAN SESAT MENGIKUT ERA

4.1.Era Tradisional
Ajaran sesat mula bertapak sejak awal kedatangan agama Islam di Semenanjung Malaysia pada abad ke 15 yang bergerak secara senyap. Ajaran sesat yang paling lama di Malaysia ialah ajaran Taslim yang dibawa oleh Haji Ahmad Matahari pada sekitar tahun 1870an di Kampung Seronok, Bayan Lepas, Pulau Pinang. Ajaran ini telah berkembang ke negeri-negeri lain seperti Kedah, Perak dan Negeri Sembilan.
Ajaran ini juga dikenali dengan Tasawuf Batiniah iaitu kebatinan. Pada umumnya ajaran ini dibawa melalui buku Kasyaf Al-Asrar terjemahan dan susunan oleh Syeikh Mohammad Salleh bin Abdullah Al-mangkabau yang ditulis pada tahun (1344H/1922M) (tahun 1390 telah ulang cetak ke-22 di Singapura) dan kemudiannya disalurkan melalui buku Hidayah Al-Anwar oleh Syed Ghazali Jamalullail, Pulau Pinang pada tahun 1355H/1933M) dan mengembangkan Ajaran Taslim dari bapanya Hj. Mohd. Matahari, kemudian Hj. Ahmad laksamana bin Omar Kelantan pada tahun 1985, menulis buku Hakikat Insan (1985M) dan Ilmu Tajalli (belum terbit) dan mengembangkannya ke seluruh Malaysia.Unsur-unsur atau faktor ajaran Batiniah ini ialah berasal daripada Syiah Ismailiyah Batiniah iaitu satu gerakan yang pada mulanya dipropagandakan oleh Abdullah bin Maimon (W 165H/780M). Beliau ialah seorang bekas penganut agama Madaism (Al-Mazdakiyah) berbangsa Yahudi dari Al-Hawas, bapanya Maimon b. Dalsan al-Khaddah ialah hamba kepada Jaafar al-Sadiq iaitu salah seorang imam 12 syiah.
Al-Khaddahlah yang mendakwa Ismail bin Jaafar al-Sidiq yang telah meninggal dunia tahun 158H dianggap sebagai ghaib dan beliau adalah Imam Mahdi Abdullah bin Maimon juga terpengaruh dengan teori angka simbolik seperti angka 7, 12 yang diambil dari 7 huruf Bismillah dan 12 huruf Lailahaillahallah kemudiannya berjumlah 19. Teori ini akhirnya diambil oleh Ismailiyah Kisaniyah dan Qaromitah.Di kalangan pengamal ilmu hakikat seperti Taslim wujud satu amalan nikah batin, yang pda asalnya lahir dari konsep batin yang disebar oleh kumpulan Syiah Batiniah.Nikah batin adalah satu amalan misteri bagi golongan Taslim.ereka merahsiakan amalan ini dari sesiapa. Menurut Hj. Abdullah Fahim b. Abdul Rahman, nikah batin di Malaysia ia bukan sahaja diamalkan oleh kumpulan Taslim bahkan oleh individu lain. Menurutnya pada tahun 1986 seorang gadis berumur 19 tahun dari Kuala Lumpur membuat laporan ke Pusat Islam yang menyatakan kakaknya telah dinikah batin oleh guru yang mengubat mereka secara batin. Kakak yang tua telah melahirkan 4 orang anak dan yang muda telah dua kali menggugurkan kandungannya.
Guru itu dan kakaknya telah dibicarakan di Mahkamah Syariah Gombak Timor, Selangor atas tuduhan berzina sehingga melahirkan anak. Mereka mengaku salah dan guru tersebut tidak sebut langsung hal ‘nikah batin’, ini berlaku pada 28 Mac 1986. Ajaran Batiniah ialah ajaran Tasawuf yang mengandungi 3 unsur iaitu: fahaman Hulul iaitu penyerapan Tuhan dengan hamba dan Wahdatul Wujud dan semacam dengannya, faham Syariah Ismailiyah dan Batiniah dan yang semacam dengannya dan ilmu Kebatinan hasil sankratisma antara kepercayaan primitif, agama Hindu, Buddha, Tasawuf Wahdatul wujud dan ajaran Syiah terutamanya yang terdapat di negara jiran.
Yang dimaksudkan dengan ajaran Syiah di sini ialah Syiah Nusairiyah dan Nizariyyah serta Musta’liyah dan Druz . Syiah Ismailiyah berjaya menegakkan kerajaan Fatimi di Mesir tahun 358 Hijrah. Dalam tahun 487 Imam Kerajaan Fatimi bergelar al-Mustansirbillah meninggal dunia, lalu puak Ismailiyah berpecah dua, satu mengikut Nizar bergelar Nizariyah dan satu lagi mengikut adiknya al-musta’li lalu digelar at-Musta’liyah.
Ada lagi pecahan lain iaitu Druz dan Nasiriyah yang ada di Lubnan, Syria dan Palestin. Selain itu Syiah Dua Belas yang berakidah dengan dengan Imamah, Wasi, Ismah, Hulul Zahir – Batin. Ia mengandungi 4 konsep utama iaitu:4.1.1. Ada zahir dan batin4.1.2. Ada tanzil dan takwil4.1.3. Ada takiyyah4.1.4. Ada wasiDi sepanjang sejarah Gerakan Syiah meninggalkan imej buruk yang penuh dengan ugutan, ancaman, pergaduhan dan kekerasan. Sikap kekerasan ini adalah warisan daripada saki baki gerakan syiah Ismailiyah yang berpusat di Aalamut yang diketuai oleh Al-Hasan al-Sabah di abad ke enam Hijrah, yang kadangkala menggunakan Hasyisy (ganja) atau seumpamanya.Antara ajaran sesat yang mengandungi unsur Batiniah ialah ajaran Taslim, ajaran Tajalli Ahmad Laksamana Kelantan. Ada doktrin wujudiah, batin, takwil, gnosis, emanasi dan kebatinan Jawa.
Di Kelantan pula wujud ajaran sesat yang dikenali dengan ajaran Subud dan ajaran Martabat Tujuh yang disebarkan sekitar tahun 1950an. Ajaran Martabat Tujuh dipercayai masih aktif di Kelantan dan beberapa negeri lain sehingga ke hari ini. Terdapat beberapa bentuk ajaran sesat seperti animisma, dinamisma, ajaran hindu-bidha, sabaiyyah, syiah ismailiyyah dan aliran teosofi.
4.2.Era Kolonial
Era Kolonial merupakan zaman sebelum kemerdekaan di mana Singapura masih merupakan sebuah negara di bawah pimpinan Tanah Melayu di mana ajaran sesat telah mula wujud dan berkembang sejak pada awal tahun 1940-an. PERDAUS iaitu sebuah pertubuhan Melayu Islam ketika dahulu telah mampu meneroka perkembangannya. Pada ketika itu timbul keributan mengenai ajaran Qadiani hasil perdebatan hebat antara Allahyarham Tuan Syed Ahmad Dahlan Al-Husaini dengan guru Qadiani Ghulam Husin, di Onan Road.
Peristiwa perdebatan di antara Tuan Syed Ahmad Dahlan Al-Husaini dengan guru Qadiani Ghulam Husin, pada tahun 40-an itu, telah mampu meredakan ribut yang ditimbulkan ajaran Qadiani, terutama di kalangan masyarakat Melayu yang beragama Islam yang tinggal di sekitar Joo Chiat Road, Geylang Serai, Katong dan Telok Kurau. Namun ajaran itu masih wujud sehingga hari ini.
Ajaran ini dibawa ke Malaysia oleh Maulana Muhammad Sadiq bin Barakatullah pada tahun 1949. Ajaran sesat ini mempunyai ciri-ciri kesesatan seperti beriktikad bahawa Mirza Ghulam Ahmad sebagai Imam Mahdi, nabi, dan jelmaan Krisyna (tuhan mengikut kepercayaan Hindu), beriktikad bahawa Allah S.W.T. menurunkan kepada Mirza Ghulam Ahmad sebuah kitab suci yang bernama Al-Tazkirah, beriktikad bahawa Mirza Ghulam Ahmad memiliki sejuta jenis mukjizat, menghapuskan jihad, mengubah ayat Al-Quran seperti ayat 6 surah Al-Saf, ayat 52 surah Al-Haj, dan ayat pertama surah Al-Qadr, mendakwa malaikat sebagai pancaindera Allah S.W.T, mengisytiharkan Qadian sebagai tanah suci dan tempat menunaikan haji, mendakwa bahawa Nabi Isa meninggal dunia dan dimakamkan di Srinegar, India dan menghukum kafir selain penganut Qadiani.
Dalam era kolonial juga terdapat ajaran sesat lain yang popular seperti ajaran sesat yang dikenali dengan nama ‘ Bahai’. Ajaran ini diasaskan oleh Husain Ali Al-Mazandani yang meninggal dunia pada tahun 1892 Masihi. Bahai adalah nama sempena pengasasnya yang digelar sebagai Baha'ullah. Ajaran Bahai adalah lanjutan kepada ajaran Al-Babiah yang diasaskan oleh Ali Muhammad Al-Syirazi yang meninggal dunia pada tahun 1850 Masihi. Ajaran Bahai muncul di Iran pada tahun 1847 Masihi dan mula tersebar di Malaysia pada tahun 1953 melalui Yan Kee Leong. Ciri-ciri kesesatan ajaran Bahai ialah dengan beriktikad bahawa pengasasnya ialah jelmaan Allah S.W.T, beriktikad bahawa semua agama adalah sama dan digabungkan dalam ajaran Bahai, beriktikad bahawa alam ini bersifat baqa'(kekal), beriktikad bahawa kitab suci mereka iaitu Al-Bayan memansukhkan semua kitab samawi, beriktikad bahawa Nabi Isa mati disalib, mengagungkan kod 19 hingga kononnya Al-Quran dipengaruhi oleh kod tersebut, menolak kewujudan mukjizat, malaikat, syurga, dan neraka, memansukhkan agama Islam, menganggap Acre di Palestin sebagai kiblat baru, mengubah bentuk-bentuk ibadat seperti puasa 19 hari, solat sebanyak 9 rakaat dan dikerjakan 3 kali sehari, dan berwuduk dengan air mawar atau diganti dengan bacaaan Bismillahil Athar sebanyak lima kali serta menghapuskan jihad.


4.3.Era Pasca Kolonial
Era Pasca Kolonial di antara tahun-tahun 1960an hingga tahun 2000 masih lagi terdapat berbagai-bagai jenis dan bentuk ajaran sesat di Malaysia .
Berdasarkan kajian oleh Bahagian Penyelidikan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bahawa ajaran sesat yang terkumpul sehingga tahun 1997 ialah 60 ajaran, yang meliputi berbagai-bagai bentuk iaitu amalan “Al-Tasauf”. Penggabungan dengan aktiviti persilatan dan penggabungan dengan amalan perbomohan serta amalan khurafat yang lain. Jumlah ajaran sesat yang dapat di kesan sehingga 1999 ialah sebanyak 98 ajaran.
Ajaran-ajaran sesat yang bergerak cergas di negeri-negeri seluruh Malaysia sebelum tahun 1980 an, bukan sahaja telah mengalami pengurangan, bahkan kebanyakkannya telah dapat dibanteras oleh pihak berkuasa agama negeri-negeri. Antaranya hingga ke peringkat tindakan undang-undang yang melibatkan hukuman denda atau penjara. Di samping itu terdapat juga tindakan yang dilakukan melalui pewartaan fatwa, proses pemulihan aqidah dan program-progrem penjelasan akidah yang dijalankan Kebanyakan ajaran sesat di Malaysia telah bergerak secara serampang dua mata, iaitu bercampur aduk antara amalan Tasawuf tawasufi atau wujudiah, batiniah dan kebatinan jiwa. Di samping ianya juga melibatkan amalan-amalan perbomohan yang menggunakan “helah agama” untuk kepentingan diri pengamalnya. Hal ini pada hakikatnya adalah semata-mata suatu amalan yang berpunca dari ajaran batiniah yang sememangnya kufur dan bertentangan sama sekali dengan ajaran Islam yang Maha Suci. Selain dari ajaran-ajaran sesat, terdapat juga kecenderungan pihak tertentu yang menyebarkan dakyah mereka terhadap penganut agama Islam untuk mendekati ajaran agama lain.
Era Pasca Kolonial juga menampilkan beberapa ajaran sesat seperti Ajaran Crypto Mokhtar Hassan, Ajaran Taslim, Ajaran Mohd. Nasir Ismail Kemboja dan Ajaran Kumpulan Anti Hadis.
Bagi Ajaran Crypto, Mokhtar Hassan telah di hukum di Mahkamah Syariah (Kuang Selangor, 1978) ajaran ini menafikan Al-Quran, membatalkan ibadat sembahyang dan lain-lain kesalahan syariah. Ajaran ini tidak mendapat sambutan daripada masyarakat Islam dan akhirnya berkubur.
Ajaran Taslim (difatwa oleh Jawatankuasa Kedah 1969) ajaran ini kadang-kadang mengurangkan pengerjaan ibadat sembahyang dan puasa. Ajaran Tajalli @ Hakikat Insan Ahmad Laksamana, Kelantan (dihukum di Kelantan tahun 1986). Ajaran ini memperkecilkan ulama syariat. Ia telah merebak ke serata negeri di tanah air. Seterusnya Ajaran Mohd. Nasir Ismail Kemboja (Batu Pahat 1980) yang menafikan fardhu Jumaat serta menyalahkan orang lain, akhirnya telah menyerang Balai Polis Batu Pahat di Johor. Manakala Kumpulan Anti Hadis telah diharamkan oleh Jawatankuasa Fatwa Wilayah Persekutuan pada bulan Mac 1980.

4.4.Era Masa Kini
Pada masa kini ditahun-tahun 2000 hingga lah sekarang masih juga terdapat ajaran-ajaran sesat yang disebar dan di amalkan . Pada tahun 2007 Ajaran Sesat ‘kerajaan langit’ yang dipimpin oleh Ariffin bin Mohammad atau lebih dikenali sebagai Ayah Pin di Terengganu telah terbongkar dan pengikut-pengikutnya telah dihadapkan ke mahkamah. Ayah Pin menyifatkan dirinya sebagai “Tuhan” segala agama, manakala pengikut-pengikutnya pula menganggap Ayah Pin sebagai Tuhan yang menerima wahyu dari langit dan segala yang dibuat adalah berasaskan wahyu tersebut.


5. SENARAI ORGANISASI AJARAN SESAT DI MALAYSIA
Di Malaysia terdapat banyak ajaran sesat yang telah dikenalpasti dan di antara ajaran sesat yang diwartakan di Malaysia adalah seperti berikut :-
1. Rampai
2. Wali Suci
3. Kalimat Sakti
4. Silat Pukulan Jarak Jauh
5. Ilmu Tenaga Dalam Hikmat
6. Zikir Sha`ban Islam Haq
7. Asal Wujud Garis Laksmana
8. Al-Ma`zat
9. “Trancendentel Meditation”- Maharisi Mahish Yugi
10. Ilmu Kebatinan
11. Abdul Manan bin Harun- Tolak Hadis
12. Ilmu Mentauhidkan Allah oleh Nasrun S.T.Qahar
13. Kumpulan Ikhwan/al-Mas
14. Kuasa Ghaib ( Tahan Diri)
15. Mohd Nordin Putih
16. Nasrun S.T.Qahar
17. Roslan Katimun atau Ajaran Wali Sembilan
18. Tariqat Naqsyabandiyah Kadirun Yahya
19. Wali Sembilan
20. Khatijah binti Ali @ Puan Tijah
21. Syed Mutalib bin Syed Mohd Nordin
22. Ajaran Mohd Seman Al-Banjari
23. Al-Arqam
24. Golongan Anti Hadis
25. Ajaran yang disampaikan oleh Juruzon bin Abdul Latif atau dikenali #juga sebagai (Hj) Ahmad al-Walidie (Pak Su)
26. Syiah
27. Ajaran Hj. Ghazali Othman Hulu Kelang
28. Ajaran Hj.Kadar Ahmad
29. Ajaran Ilmu Tajalli Ahmad Laksamana
30. Ajaran ilmu Hakikat@ Jahar Dumin Hulu Langat
31. Tarikat Mufaridiah
32. Ajaran Hassan Anak Rimau
33. Tarikat Aurad Ismailiah
34. Ajaran Martabat Tujuh
35. Tarikat Samaniah Ibrahim Bonjol
36. Ajaran Sulaiman (Bahtera Nabi Noh)
37. Ajaran Ilmu Hakikat Hassan bin Jonit
38. Ajaran AhmadiahQadiani
39. Ajaran Mohd Nor Seman
40. Ajaran Ayah Pin
41. Ajaran Bahai
42. Al-Ma`unah
43. Ajaran Azhar Wahab
44. Ajaran Hj.Banuar
45. Ajaran Sesat Lia Eden

6. KESAN DAN AKIBAT AJARAN SESAT
Sememangnya ajaran sesat membawa kehancuran terhadap kadaulatan negara dan juga menimbulkan berbagai keganasan, ia juga mengakibatkan ancaman terhadap kestabilan politik serta ancaman terhadap perpaduan ummah dan masyarakat.
6.1.Kesan Terhadap Individu
Dengan mengamalkan ajaran sesat akidah seseorang akan rosak. Orang Muslim yang mempercayai atau beramal dengan ajaran sesat boleh merosakkan akidah.Mereka wajib bertaubat dan kembali kepada ajaran Islam, pengamal ajaran sesat akan banyak membuang masa dengan aktiviti yang tidak sihat dan bertentangan dengan ajaran Islam seperti memuja dan melakukan amalan-amalan syirik serta khurafat. Minda penganut ajaran sesat akan tertutup dan pemikiran mereka sering dikongkong oleh pemimpin yang mendakwa mendapat wahyu. Tindakan dan kelakuan mereka menjadi tidak rasional dan fanatik menjadikan kehidupan tidak stabil. Penglibatan dengan ajaran sesat membawa kepada pengabaian tanggungjawab sebagai pelajar, suami, isteri, ibu, atau bapa.

6.2.Kesan Terhadap Masyarakat
keruntuhan institusi kekeluargaan dan Keretakan boleh berlaku di kalangan ahli keluarga yang menganut ajaran sesat disebabkan perbezaan akidah dan rasa curiga sesama mereka. Ajaran sesat boleh menggugat perpaduan dan menimbulkan sikap fanatik penganut ajaran sesat terhadap kumpulan dan pemimpin mereka menyebabkan mereka tidak menghormati masyarakat sekeliling.Ini menjejaskan perpaduan dan keharmonian hidup dalam masyarakat . Ajaran sesat boleh mengwujudkan keganasan di mana kepatuhan membutatuli kepada pemimpin ajaran sesat memudahkan pengikutnya dipergunakan untuk melakukan keganasan.

6.3.Kesan Terhadap Negara
Negara akan menjadi mundur kerana penglibatan dalam ajaran sesat menjadikan diri seseorang tidak proaktif dan membuang masa. Perkara itu akan menjejaskan prestasi ekonomi negara yang bergantung kepada sumbangan dan produktiviti individu. Ajaran sesat menyebabkan negara menjadi tidak stabil dan penglibatan dalam ajaran sesat akan mengancam perpaduan dan keharmonian masyarakat. Ini boleh menggugat kestabilan politik dan ekonomi negara. Akibatnya negara terpaksa menghabiskan banyak masa dan perbelanjaan untuk mengekalkan kestabilan negara.
Ekoran daripada amalan ajaran sesat yang semakin berleluasa, beberapa peristiwa telah berlaku yang menggugat ketenteraman dan keselamatan awam seperti peristiwa yang berlaku pada 19 Oktober 1974 di mana seorang ahli kumpulan ajaran sesat Empat Sahabat di Kampung Kedap, Rantau Panjang, Kelantan telah ditembak mati dalam satu pertempuran dengan pasukan keselamatan. Peristiwa seorang ketua ajaran sesat yang mengaku dirinya Imam Mahdi telah mencederakan imam masjid Rapat Setia, Ipoh, Perak, iaitu Haji Damanhuri bin Haji Abd. Wahab yang berusia 68 tahun pada 7 Julai 1979. Seterusnya pada 16 Oktober 1980, lapan orang ahli kumpulan ajaran sesat yang dipimpin oleh Ahmad Nasir bin Ismail telah terbunuh dalam peristiwa serangan di Balai Polis Batu Pahat, Johor. Beberapa anggota polis dan orang awam turut cedera dalam peristiwa tersebut.

7. FAKTOR LAHIRNYA AJARAN SESAT.
Jika dikaji masyarakat Islam dinegara ini dapat dikatakan bahawa punca yang membawa kepada lahirnya berbagai jenis ajaran dan amalan sesat pada umumnya adalah berpunca dari dua faktor utama iaitu Faktor Dalaman ( Internal Factors ) dan faktor luaran . Faktor Dalaman Pada kebiasaannya jenis ajaran seumpama ini telah bertapak dan tersebar secara sulit dan tersembunyi didaerah-daerah pedalaman di negara ini. Golongan yang mempelopori ajaran dan amalan ini adalah terdiri dari tokoh-tokoh tempatan yang terpengaruh dan sangat disegani oleh masyarakat sekitar. Golongan ini mempunyai beberapa kebolehan dan keistimewaan yang luar biasa yang dipergunakan sebagai sakti dan daya tarikan utama untuk mempengaruhi masyarakat umum. Orang-orang biasa tidak mengetahui secara mendalam bagaimana bentuk ajaran atau amalan ilmu-ilmu ini, kerana ianya diperkembangkan secara sulit dan rahsia. Oleh kerana itu setiap pengikut ilmu-ilmu ini dikehendaki mengikat perjanjian dengan gurunya bahawa ilmu ini tidak boleh diberitahu oleh orang lain. Sebaliknya mestilah dirahsiakan. Jika diberitahu juga kononnya ilmu ini tidak mujarab atau tidak menjadi lagi. Untuk menguatkan lagi perjanjian tadi, maka setiap pengikutnya dikehendaki mengangkat sumpah dengan menyebutkan nama Allah, menggunakan ayat-ayat suci al-Quran dan mengangkat al-Quran sebagai saksi.
Faktor luaran. Masyarakat Islam di negara ini adalah merupakan masyarakat yang terbuka. Dengan hal demikian berbagai pengaruh luar begitu senang sekali mempengaruhi keadaan sekitar masyarakat Islam. Guru-guru yang menganjurkan sesuatu ilmu atau amalan ini selain dari anak tempatan adalah juga datang dari luar negeri. Mereka ini menggelarkan diri mereka sebagai tokoh-tokoh agama serta mempunyai ciri-ciri personaliti yang agak berbeza dengan orang awam, samaada disegi rupa paras, bentuk pakaian dan tingkah laku. Bagi penganjur ilmu kebatinan yang berunsurkan seni mempertahankan diri, seringkali golongan ini mengambil kesempatan dengan melantik pemimpin-pemimpin tertentu sebagai khalifah atau Mahaguru. Oleh kerana itu manifesto ilmu yang dikembangkan itu disesuaikan dengan kehendak masa dan suasana. Kebanyakan pengikut-pengikut yang terlibat dengan ajaran sesat dan ilmu kebatinan ini adalah terdiri dari golongan yang tidak mempunyai asas yang kuat didalam aspek akidah islam, disamping tidak mempunyai pengetahuan yang luas dan mendalam dalam mengenai ajaran Islam yang sebenarnya.

8. TEKNIK PENYEBAR AJARAN SESAT MEMIKAT PENGIKUT
Berbagai cara telah digunakan oleh penyebar ajaran sesat untuk menarik minat pengikut di antaranya dengan cara perhati, beramah mesra, mencetus keraguan, gantung tak bertali, ikat dan kesamaran.
8.1.Perhati
Penyebar mesti pandai dan memahami hati serta pendirian orang yang dipikat. Mangsa selalunya seorang yang warak dan kuat mengerjakan amal ibadat. Penyebar ajaran sesat akan berpura-pura lebih kuat beragama dan beribadat daripada mangsa.
8.2.Beramah mesra
Penyebar cuba mencari jalan untuk mendampingi dan mendekati orang yang hendak dipengaruhinya. Misalnya, penyebar akan meminta bermalam di rumah orang berkenaan dengan tujuan mengadakan majlis membaca al-Quran dan dalam syarahannya akan diselitkan keburukan ulama lain.
8.3.Mencetus keraguan
Jika seseorang itu mengerjakan sembahyang fardu dan sunat dengan tekun dan tidak berhenti-henti, mereka akan menimbulkan pertanyaan apakah hikmah dan tujuan bersembahyang.
8.4.Gantung tidak bertali
Setelah tujuan penyebar berjaya menimbulkan keraguan dalam pemikiran seseorang dan orang yang dipikat benar-benar berminat untuk mengetahui pelbagai rahsia seperti rahsia di sebalik huruf awal surah, sembahyang dan puasa, penyebar seringkali bersikap ‘pura-pura jual mahal’. Jika didesak penyebar akan meminta mangsa bersabar, banyak mengerjakan sembahyang dan amal ibadat.
8.5.Ikat
Selepas diberitahu rahsia, mangsa diminta bersumpah tidak membocorkan rahsia. Mangsa ‘diikat lidah’ agar tidak membocorkan ilmu atau rahsia buat selama-lamanya.
8.6.Kesamaran
Penyebar ajaran sesat selalunya mengeluarkan kata-kata yang ‘berat dan kabur’. Contohnya, “manusia itu ada bermacam pendapat, bertentangan antara satu sama lain. Masing-masing mengatakan pihaknya betul. Tetapi kita dengan mengenal diri, maka mengenal Allah dan Allah tidak menyembunyikan kebenaran, manakala orang lain berada dalam keadaan meraba-raba”.

9. CIRI-CIRI AJARAN SESAT

Organisiasi ajaran sesat (OAS) pada umumnya merujuk kepada organisasi agama yang memudaratkan manusia. Ia mempunyai ciri-ciri seperti berikut:
9.1.Mempunyai Pengucapan mengenai Alam GhaibPengucapan mengenai alam ghaib memberikan organisasi ini ciri-ciri agama. Biasanya pengucapan ini diadakan dalam bentuk ajaran yang wajib dipercayai oleh semua ahli.
9.2.Mempunyai Sifat Anti-MasyarakatSatu sifat yang ketara untuk Organisasi Ajaran Sesat ialah mempunyai sifat anti-masyarakat. OAS sentiasanya menganggap golongan majoriti masyarakat adalah "bodoh" dan merekalah yang "bijak" kerana menganggap dirinya telah menemui "kebenaran". Mereka sentiasanya membenci masyarakat umum, menganggapnya bersifat dosa ataupun "kotor". Oleh itu, mereka akan mengelakkan diri daripada masyarakat umum, ataupun bersikap sebagai "penyelamat" apabila berdepan dengan orang umum.
9.3.Mempunyai Seorang Ketua Yang Dipujakan Seperti DewaOAS biasanya mempunyai seorang ketua yang dipuja seperti dewa. Ketua OAS biasanya mengenal diri sebagai nabi dan mempunyai kuasa-kuasa tertentu.
9.4.Mempunyai Pengaruh Yang Mendalam Terhadap Ahlinya.
Penyertaan seseorang ke dalam sesautu OAS akan mengubah tingkah lakunya. OAS bukan sahaja mempegaruhi kehidupan seseorang dengan memberikan pelbagai ajaran kepadanya, malah kadang kala OAS juga menggunakan tindakan fizikal untuk mengawal ahlinya. Ini termasuk kawalan untuk bersosial dan juga kawalan bergerak.
Hujah di atas turut diperolehi dalam penyelidikan yang dijalankan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang terdapat banyak ciri-ciri yang telah dikenal pasti sebagai ajaran sesat di antaranya adalah adalah seperti berikut:-
· Mengaku diri atau gurunya sebagai Nabi atau wakilnya dan mendakwa menerima wahyu.
· Mengaku diri atau gurunya sebagai Imam Mahdi atau mempercayai bahawa orang-orang tertentu tidak mati dan akan muncul sebagai manusia yang istimewa seperti Imam Mahdi (ajaran sesat Qadyani, Bahai, Empat Sahabat, Nasir dan Mufarridiah).
· Mempercayai bahawa roh orang yang mati menjelma semula ke dalam jasad orang yang masih hidup.
· Mendakwa pengikut-pengikut ajaran/tarikatnya sahaja yang dijamin masuk syurga.
· Mendakwa gurunya memegang kunci pintu syurga.
· Mempercayai bahawa gurunya boleh menebus dosa dengan wang.
· Mendakwa bahawa semua agama adalah sama.
· Mempercayai bahawa orang yang telah mati boleh memberi pertolongan apabila namanya diseru.
· Memohon kepada objek tertentu seperti batu, cincin dan sebagainya untuk sampai kepada Tuhan.
· Melakukan penyerahan rohani dan jasmani kepada guru melalui nikah batin dengan tujuan untuk mendapat anak yang soleh atau anak hakikat.
· Mengaku Allah menjelma dalam diri.
· Mendakwa atau mengaku dirinya sebagai wakil Nabi yang boleh memberi syafaat kepada muridnya.
· Mendakwa ajaran atau tarikatnya yang diamalkan diperolehi terus daripada Rasulullah s.a.w. secara yaqazah (jaga).
· Mengaku dan mempercayai bahawa seseorang itu boleh berhubung dengan Allah melalui Nur Muhammad yang berada di dalam dirinya dan mendakwa akan masuk ke syurga.
· Memansuhkan syariat Islam seperti sembahyang, puasa, haji dan membuat syariat baru atau menganggap setelah sampai kepada hakikat maka tidak perlu lagi syariat.
· Meninggalkan sembahyang Jumaat kerana mengamalkan suluk.
· Mendakwa bahawa ibadat haji tidak semestinya ditunaikan di Mekah tetapi boleh ditunaikan di tempat-tempat lain.
· Mengubah dengan sengaja ayat al-Quran dan maksudnya.
· Mengakui dan mempercayai bahawa tangkal boleh memberi kesan.
· Mendakwa bahawa setiap yang zahir ada batinnya dan setiap ayat yang diturunkan ada takwilnya seperti puasa, zakat, haji, nikah dan sebagainya. Mereka mendakwa orang yang mengamalkan syariah hanya kulit dan tidak sampai kepada matlamat sebenar.

10. Ancaman Ajaran Sesat Kepada Umat Islam Dan Negara
10.1. Mencela Ulama Dan Fuqaha
Kebanyakan penganjur ajaran sesat mendakwa diri dan pengikutnya sebagai manusia yang mengetahui segala ilmu hakikat dan telah mencapai ke maqam yang tinggi serta menolak syariat. Mereka meletakkan taraf ulama kepada dua iaitu ulama zahir dan batin. Ulama zahir dianggap hanya mengetahui perkara-perkara zahir seperti ulama pada hari ini sedangkan diri mereka diletakkan taraf yang lebih tinggi dan mulia kerana mengetahui rahsia batin dan ilmu hakikat.

10.2. Membuat Takwilan Dalam Agama
Guru ajaran sesat berani melakukan takwilan-takwilan terhadap ayat-ayat al-Quran dan Hadis dengan membuat huraian-huraian tanpa asas syarie. Mereka terpengaruh dengan ajaran batiniah dan menggunakan doktrin batin dan takwil dalam menghuraikan konsep wujudiah. Hal ini dapat dilihat dalam bentuk takwil terhadap kalimah-kalimah atau lafaz-lafaz yang berkaitan dengan ibadah seperti angka dan pandangan huruf.

10.3. Kepentingan Peribadi Dan Seks
Kebanyakan ajaran sesat ini mempunyai motif dan kepentingan peribadi kepada gurunya seperti kepentingan terhadap kedudukan, pangkat, kebendaan dan seks bebas dengan mengamalkan nikah batin. Nikah batin ialah nikah yang dijalankan secara rahsia yang boleh berlaku sama ada antara guru dengan pengikutnya atau sesama di kalangan pengikutnya yang tidak terikat dengan hukum syarak.

10.4. Ingin Melemahkan Perpaduan Dan Menghancurkan Agama Islam Melalui Gerakan Rahsia
Sejak zaman Rasulullah lagi, terdapat golongan yang ingin merosakkan agama Islam secara halus tetapi menemui kegagalan. Namun, ketika zaman Khalifah Umaiyyah dan zaman selepasnya, pelbagai penyelewengan akidah dan syariah telah berlaku. Golongan tertentu telah menyelewengkan hukum dan syariat Islam seperti ajaran Crypto Mokhtar Hassan yang menafikan al-Quran, membatalkan sembahyang dan ibadat lain dan ajaran Tajalli atau Hakikat Insan Ahmad Laksamana yang memperkecil-kecilkan ulama syariat.

10.5. Untuk Memecah Belahkan Perpaduan Dan Persaudaraan Umat Islam
Fahaman Syiah mula tumbuh pada tahun 36H yang diamalkan di Iran, Lubnan dan Pakistan telah menimbulkan banyak masalah kepada dunia Islam.

10.6. Untuk Menguji Sejauh Mana Kefahaman Dan Ketaatan Umat Islam Terhadap Agamanya
Apabila mereka berjaya dengan motif tersebut, ini memudahkan agama Islam dan umatnya dihancurkan dan diganti dengan ideologi dan sistem asing.

11. Penutup
Pertumbuhan serta perkembangan ilmu atau amalan sesat di dalam masyarakat Islam di negara ini, bukan sahaja boleh menyebabkan Akidah umat Islam menyeleweng dari tuntutan Allah, bahkan ianya juga adalah sebahagian dari unsur-unsur yang membawa kepada perpecahan dikalangan umat Islam sendiri. Akan timbul dalam masyarakat Islam beberapa kumpulan yang mengamalkan beberapa kumpulan yang mengamalkan beberapa jenis ilmu yang berbeza dari segi nama tetapi mempunyai motif yang hampir-hampir sama. Masing-masing kumpulan akan berusaha mencari pengikut seberapa banyak yang mungkin; Implikasi dari keadaan seumpama ini akan membawa kepada lenyapnya perasaan persaudaraan sesama Islam yang sangat-sangat dititikberatkan oleh Allah sebagai senjata kekuatan dan keutuhan umat Islam. Dan yang lebih membimbangkan lagi sepertimana yang dibayangkan oleh Rasulullah bahawa di suatu masa kelak umatnya akan berpecah kepada tujuh puluh tiga puak. Sabda Rasulullah saw. Ertinya: “ Akan berpecah umatku kepada tujuh puluh tiga puak, kesemuanya didalam neraka kecuali satu sahaja, iaitu puak yang mengikut sunnahku dan sunnah sahabat-sahabatku”
Umat-umat Islam benar-benar beriman dengan Allah haruslah memahami bahawa sesungguhnya tidak ada ilmu kebal dalam Islam, kerana Rasulullah telah menyatakan bahawa Mukmin yang kuat ialah mukmin yang mempunyai kekuatan iman yang lahir dari peningkatan ketakwaan kepada Allah. Bukti bahawa tidak ada kekebalan dalam islam ialah Rasulullah sendiri telah cedera parah dalam peperangan Uhud. Jika ada kekebalan dalam islam sudah tentu Rasulullah dan para sahabat tidak akan cedera dalam peperangan. Oleh itu untuk mengatasi dan membasmi segala ajaran atau amalan sesat yang terdapat didalam masyarakat Islam maka setiap umat Islam haruslah bertanggungjawab serta mengkaji sesuatu ajaran atau amalan itu secara terperinci dengan berlandaskan kepada ajaran Islam yang maha suci sebelum menyertai sesuatu ajaran, supaya dengan ini keimanan serta keyakinan umat Islam terhadap kebesaran kekuasaan Allah tetap terpelihara dan juga dapat mengelakkan umat-umat islam dinegara ini daripada terpedaya dan terperangkap dengan golongan-golongan yang mencari pengaruh disebalik tabir Islam.







Persatuan Ulama’ 1992. Malaysia, Bil, 31 ( thn 3 ) Jamadilawal 1413h
Zainuddin Hamidy, Fachruddin. 1991. Tafsir al-quran. Klang, Selangor. Klang Book Centre.
Drs. Abdul Ghani Bin Hj Idris. 1999. Bagaimana Islam Berpolitik Dan Memerintah. Kuala Lumpur. Al-Hidayah Publisher.
Khurshid Ahmad (ED). 1991. Kajian Dalam Ekonomi Islam., Kementerian Pendidikan Malaysia Kuala Lumpur. Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Muhaimin Sulam. 1994. Tasawwur Islam. Kuala Lumpur. Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd.
Muhamed S. El-Awa. 1991. Sistem Politik Negara Islam. Kementerian Pendidikan Malaysia. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Nazmi Ghazali Azmi Al-Naghazi. 1992. Al-Balad al-Muntazar (Negara Harapan). Selangor. Budaya ilmu Sdn Bhd.
Wan Zailam Kamaruddin. 1997. Hakikat Kenabian Menurut al-Quran. Kuala Lumpur. Berita Publishing Sdn Bhd.
Satu Analisis Perbandingan Antara Doktrin-doktrin Dalam Ajaran Taslim, Ajaran Ahmad Laksamana dan Tarekat Naqsyabandiah Kadirun Yahya, Tesis,( Fakulti Pengajian Islam UKM, 1991).

2 comments:

farz zull said...

amboii, rajinnya upload assignment kat sini...nice2..;)

~ku hanya seorang insan~ said...

hihih...sje..sharing information..hehe

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SIAPA NAK JADI DEALER TOUPUP

SIAPA NAK JADI DEALER TOUPUP
INI KERJA PART TIME SESUAI PADA SEMUA PERINGKAT USIA>

SINI ADA BLOG YANG BEST.LAI-LAI..=D